SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung selepas rumah atas air yang didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Mumiang, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem NG999 pada jam 7.19 malam.
Menurutnya, pasukan bomba dari BBP Sandakan yang dianggotai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian dengan bantuan bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 20 x 30 kaki yang musnah sepenuhnya.
“Pemadaman awal telah dilakukan oleh penduduk kampung menggunakan pam air sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jimmy berkata, seorang mangsa lelaki berusia 77 tahun ditemui dalam keadaan rentung di dalam rumah berkenaan.
“Mangsa, Lee Thung Mong ditemui lebih awal oleh pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berada di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman sisa bara api menggunakan pam air milik penduduk kampung selain memastikan tiada bahaya lain di kawasan sekitar.
“Operasi pemadaman berdepan cabaran berikutan tiada laluan darat ke lokasi selain keadaan air laut yang surut, menyebabkan pasukan memerlukan bantuan bot daripada agensi lain untuk sampai ke lokasi.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.35 tengah malam selepas keadaan disahkan selamat," katanya
