KOTA KINABALU: Bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony, dilaporkan telah dibebaskan secara parol dari Penjara Kajang, namun setakat ini tiada pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung perkara itu.
Memetik laporan Daily Express, beliau dipercayai telah kembali ke Sabah pada 13 Mac lalu selepas menjalani sebahagian daripada hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya sebelum ini.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan maklum balas daripada pihak Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) tidak berhasil apabila beberapa pemimpinnya enggan mengulas, dipercayai atas nasihat supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Sumber lain memaklumkan, kelibat Peter bersama anaknya, Priscella Peter turut dilihat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekali gus menguatkan dakwaan beliau sudah kembali ke negeri ini pada tarikh demikian.
Pada Mac 2025, Peter dijatuhi hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Kesalahan itu melibatkan pemalsuan surat sokongan bagi membantu syarikat miliknya mendapatkan kontrak berkenaan pada tahun 2014.
Ketika dijatuhi hukuman, beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, namun tiada pilihan raya kecil diadakan berikutan tempoh Dewan Undangan Negeri ketika itu hampir tamat.
Setakat ini, status sebenar pembebasan parol berkenaan masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berwajib.
