PUTATAN: Tiga pintu rumah sewa di Sekambu Petagas di sini musnah dalam kebakaran petang tadi, namun tiada sebarang mangsa dilaporkan terlibat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.25 petang sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira enam minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati pintu pertama dan kedua rumah sewa berukuran 20x30 kaki terbakar sepenuhnya manakala pintu ketiga mengalami kebakaran kira-kira 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi memadam kebakaran diketuai oleh 27 anggota bomba daripada BBP Putatan dan bantuan BBP Kota Kinabalu menggunakan tiga aliran sejauh 200 kaki dengan empat pancutan.
"Sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran serta jentera water tanker.
“Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 6.55 petang dan tamat sepenuhnya pada 7.30 malam setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya.
