SANDAKAN: Seorang lelaki warga emas maut
selepas tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di belakang sebuah hotel di Pusat
Bandar Sandakan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.39 pagi itu,
mangsa, Agustine Frederick J Lingam, 76, dipercayai cuba menghidupkan generator
(genset) di bahagian belakang bangunan Super OYO 1027 Hotel London selepas
bekalan elektrik terputus akibat hujan lebat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)
Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui
talian NG999 sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Seramai 10 anggota bersama tiga jentera dari
BBP Sandakan bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.
“Komander operasi membuat ‘size-up’ dan
mendapati seorang mangsa lelaki tertimbus separuh badan akibat runtuhan tanah
di kawasan belakang bangunan hotel,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba segera menjalankan
operasi menyelamat dengan menggali tanah menggunakan peralatan penyodok bagi
mengeluarkan mangsa.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 7.14 pagi
sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk
pemeriksaan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia
di lokasi kejadian,” katanya.
Jimmy berkata, mayat mangsa kemudiannya
diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, selepas memastikan keadaan di lokasi
selamat dan tiada lagi bahaya yang boleh mengancam, operasi ditamatkan
sepenuhnya pada jam 8.19 pagi.
%20(5).png)