Perbuatan biadab cemar al-Quran tidak boleh dikompromi - Arifin

 

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr Arifin Mohd Arif mengecam keras perbuatan menghina al-Quran yang tular di media sosial dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak beretika.

Beliau berkata, perbuatan itu bukan sahaja mencemarkan kesucian kitab suci umat Islam, malah boleh menggores perasaan serta sensitiviti masyarakat Islam.

“Kita tidak boleh berkompromi terhadap perbuatan biadab yang menghina al-Quran lebih2 lagi di bulan Ramadan bulan al-Quran yang suci dan mulia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap individu berkenaan.

“Saya minta pihak berkuasa termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan siasatan segera terhadap insiden berkenaan,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan tegas berlandaskan undang-undang perlu diambil bagi memastikan perbuatan menghina agama tidak berulang.

Dalam pada itu, Arifin turut menyeru masyarakat supaya kekal tenang dan tidak bertindak melulu dalam menghadapi isu berkenaan.

“Serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama