Program Iftar Ramadan bantu 66 asnaf, erat hubungan komuniti di Penampang



PENAMPANG: Seramai 66 golongan asnaf disantuni dalam Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan 2026 yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kapayan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar berkata program berkenaan mencerminkan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Sabah.

“Program anjuran Persatuan Masyarakat Interactive Suara Sabah dan Persatuan Cahaya Sabah itu melibatkan penerima terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak yatim serta warga emas.

“Walaupun masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama, mereka sentiasa menghormati antara satu sama lain dan menjaga perpaduan yang menjadi kekuatan Sabah.

“Program seumpama in amat bermakna khususnya di kawasan Kapayan yang mempunyai komuniti Islam sebagai golongan minoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 2026 yang bertempat di Kinsabina Function Hall, Penampang.

Hadir sama, Pengerusi Pelaksana program, Rashid Hassan yang berjaya menganjurkan program tersebut buat kali ketiga sejak diperkenalkan pada 2024.

Nizam menambah bahawa program berkenaan turut mendapat sokongan kementeriannya dan berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Insya-Allah pada masa akan datang kita akan terus memberi sokongan kepada apa juga program yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

“Saya melihat pada hari ini ramai anak muda yang hadir dan ini selaras dengan komitmen kementerian untuk terus membangunkan golongan belia.

“Perkara ini terbukti apabila ramai anak Sabah telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, sama ada dalam bidang nyanyian, sukan dan pelbagai bidang lain, sekali gus mengharumkan nama negeri Sabah,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama