PAPAR: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dinaiki bersama dua lagi individu terbabas ke dalam longkang dalam kemalangan di Kampung Langsat, Jalan Bukit Manggis, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.21 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, setibanya di lokasi pada jam 5.44 pagi, didapati kemalangan membabitkan sebuah Proton Iswara yang dipercayai terbabas sendiri ke dalam longkang.
“Terdapat tiga mangsa terlibat dalam kejadian itu. Seorang lelaki berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Dua lagi mangsa masing-masing wanita berusia 63 tahun dan lelaki berusia 41 tahun berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Papar menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rozlan berkata, pasukan bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa yang terbabit sebelum memberikan rawatan awal di lokasi kejadian.
“Mangsa yang meninggal dunia kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.21 pagi,” katanya.

