KOTA KINABALU: Tindakan seorang lelaki bukan warganegara menggunakan dokumen disyaki palsu bagi permohonan MyPR membawa padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan Pegawai Penguat Kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah di Bahagian Kad Pengenalan JPN Kota Kinabalu.
Menurut kenyataan JPN Sabah, suspek ditahan ketika hadir membuat permohonan MyPR dengan menggunakan permit masuk yang disyaki palsu.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen dikemukakan adalah meragukan sebelum tindakan penahanan dilakukan di lokasi.
"Kes berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut memandangkan kesalahan membabitkan penggunaan permit masuk," menurut kenyataan itu, hari ini.
Sementara itu, JPN Sabah menegaskan pihaknya komited memastikan setiap urusan permohonan dokumen pengenalan diri mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Katanya, pihak jabatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan pemalsuan dokumen rasmi dan akan terus memperketatkan penguatkuasaan bagi membendung kegiatan berkenaan.
