KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat keluar rumah bersama seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Lapasan, Telipok, Manggatal, di sini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan di Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut kenyataan itu, Nurul Dahniah Balqis Abdullah dilihat kali terakhir pada jam 11.40 pagi, 23 Mac lalu sebelum gagal dikesan sehingga kini.
“Mangsa berbangsa Bajau dan tinggal di rumah sewa di kawasan Sinsuran.
“Dia mempunyai ciri fizikal berbadan sedikit gemuk, berkulit putih, bermata hitam, berkening tebal, berambut hitam paras leher serta berbibir bawah tebal.
“Siasatan awal mendapati mangsa keluar rumah bersama seorang lelaki yang baru dikenalinya,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau pegawai penyiasat, Insp Movendran di talian 018-5746310 bagi membantu siasatan.
