PITAS: Seorang warga emas wanita berusia 80 tahun dipercayai hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Bawang, di sini, sejak Ahad lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Sentay Bakau berkata, mangsa Sarina Samam Kassim dilaporkan keluar dari rumah sekitar jam 4 petang pada 22 Mac, namun tidak pulang sehingga keesokan harinya.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.18 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Pitas digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada jam 10.30 pagi, pasukan operasi bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam segera mendapatkan maklumat serta memulakan operasi pencarian.
“Pencarian terus dijalankan dalam radius kira-kira empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi akan disambung semula pada pagi esok dengan kekuatan anggota dan agensi terlibat yang sama.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil membantu bagi memudahkan operasi pencarian," katanya.
