KOTA KINABALU: Bekalan bahan api petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara dilaporkan mencukupi dan stabil tanpa sebarang kekurangan setakat ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata dakwaan berlaku ketidakcukupan bekalan di beberapa stesen minyak di Sabah sebelum ini adalah tidak tepat dan hanya berpunca daripada isu logistik bersifat sementara.
Beliau menjelaskan, kelewatan penghantaran yang berlaku di beberapa lokasi hanya mengambil masa beberapa jam, khususnya ketika musim perayaan susulan peningkatan permintaan.
“Sehingga kini tidak berlaku kekurangan bekalan petrol, diesel dan LPG dalam negara. Bekalan semasa adalah mencukupi malah situasi negara kekal lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk di peringkat serantau.
“Isu yang timbul hanyalah berkaitan kelewatan logistik yang telah pun ditangani dan pemantauan berterusan sedang dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan api adalah terjamin.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api, khususnya di kawasan sempadan.
Katanya, risiko ketirisan meningkat berikutan konflik di Asia Barat serta jurang harga bahan api bersubsidi dalam negara berbanding harga di negara jiran.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa sebarang penjualan atau pengisian bahan api ke dalam bekas selain tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 serta peraturan berkaitan.
“KPDN tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya.
