Petisyen dibatalkan, ADUN Pitas tekad terus bantu rakyat

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah menzahirkan rasa syukur selepas mahkamah memutuskan petisyen pilihan raya yang difailkan terhadapnya dibatalkan.

Petisyen yang dikemukakan oleh Datuk Harun Haji Ismail daripada Parti Warisan itu ditolak oleh hakim, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai wakil rakyat kawasan berkenaan.

Menurut Ruddy, keputusan tersebut diterima dengan penuh rasa syukur dan beliau komited untuk terus menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

“Ini keputusan mahkamah dan saya terima dengan penuh kesyukuran. Kini masa untuk kita terus bekerja demi rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa sebarang bayaran berkaitan kes tersebut akan disalurkan kepada golongan memerlukan, khususnya anak-anak yatim.

“Kalau ada bayaran, kita akan beri kepada anak-anak yatim kerana mereka lebih memerlukan bantuan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ruddy menegaskan komitmennya untuk terus turun padang serta memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur dan keperluan asas rakyat di kawasan Pitas.

“Kita akan pastikan usaha membantu rakyat diperkasa, terutama dari segi kemudahan dan infrastruktur yang amat diperlukan,” ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama