UMNO Sabah perlu matang hadapi lanskap politik baharu – Jafry


KOTA KINABALU: UMNO Sabah perlu terus bersabar, matang dan bijaksana dalam menghadapi perubahan lanskap politik negeri ketika ini, kata Ketua UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin.

Beliau berkata, situasi politik semasa memerlukan parti itu menyesuaikan pendekatan tanpa melunturkan semangat perjuangan kepada rakyat.

“Memang kita akui keadaan kita dan saya ambil maklum tentang itu. Perubahan lanskap politik memerlukan kita lebih matang, lebih sabar dan lebih bijaksana mengambil langkah.

“Namun walau apa pun keadaannya, semangat perjuangan kita jangan luntur kerana tanggungjawab kita kepada rakyat tetap sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Badan Perhubungan UMNO Sabah, di sini.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat Sabah, UMNO negeri akan terus memainkan peranan secara bertanggungjawab dalam membantu pembangunan negeri.

“Saya juga sedang berusaha agar UMNO Sabah diberi peranan menyumbang di pelbagai peringkat pentadbiran termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta institusi kepimpinan masyarakat,” jelasnya. 

Jafry berkata parti berkenaan juga perlu terus memperkukuhkan kesatuan dalaman serta membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama perjuangan UMNO.

“Pintu UMNO Sabah sentiasa terbuka kepada sahabat-sahabat lama yang pernah bersama kita. Yang pernah keluar kita raikan jika mereka ingin kembali.

“Rumah UMNO Sabah ini cukup untuk semua, kita ketepikan sifat ego dan sombong demi rakyat dan negeri Sabah,” tambahnya. 

Katanya, politik dalaman yang keterlaluan hanya akan melemahkan parti dan menjejaskan usaha memperkukuhkan sokongan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Sabah perlu bersedia lebih awal menghadapi pilihan raya akan datang dengan pendekatan baharu yang lebih dekat dengan aspirasi rakyat.

Beliau berkata UMNO Sabah perlu menunjukkan kebolehan dan kecerdasan baharu bagi meyakinkan rakyat bahawa parti itu masih mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.

“80 bukan sekadar angka. Ia bukti betapa pentingnya UMNO kepada politik Malaysia dan Sabah.

“Marilah kita bersama-sama menggembleng kekuatan bagi mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua,” ujar beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama