![]() |
| IHSAN: Bomba Putatan. |
PUTATAN: Sebanyak lapan buah rumah dan sebuah kenderaan musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di Jalan Sekambu, Kampung Sekambu Petagas di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi kira-kira 16 kilometer dari balai.
“Rumah pertama dan keempat hingga keenam yang merupakan rumah dua tingkat jenis separuh kekal terbakar sepenuhnya.
“Dua rumah jenis tidak kekal turut musnah 100 peratus, manakala dua lagi rumah hanya mengalami kerosakan masing-masing lima dan 10 peratus.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil juga dilaporkan terbakar sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.10 petang.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.15 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” jelasnya.
Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
