Operasi SAR hari kedua cari lelaki hilang di kebun Kiulu masih gagal


TUARAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan kebun di Kampung Paka, Kiulu di sini memasuki hari kedua, namun mangsa masih belum ditemui.

Mangsa, Jantannius Poulus, 45, dilaporkan hilang selepas tidak ditemui rakannya ketika mereka berada di kebun pada 10 Mac lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki berkata laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 8.40 malam sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 41 kilometer dari balai.

Katanya, mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika sedang berehat di sebuah pondok di kawasan kebun berkenaan.

“Pengadu yang bersama mangsa membersihkan kebun mendapati lelaki itu hilang selepas kembali ke pondok terbabit dan usaha mencari di sekitar kawasan berkenaan gagal menemui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan bomba, pada Khamis. 

Susulan itu, operasi hari kedua yang melibatkan enam anggota bermula pada jam 10.36 pagi selepas taklimat pembahagian sektor carian sebelum pencarian dijalankan di sepanjang sungai dan kawasan sekitar pondok lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Bagaimanapun, mangsa masih belum ditemui setakat operasi ditangguhkan pada jam 4.30 petang dan pencarian akan disambung semula hari ini.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama