KOTA KINABALU : Yang di-Pertua
Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-24,
Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Malek, kunjungan itu
bertujuan memperkenalkan diri selain berkongsi perkembangan semasa Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) serta usaha memperkukuh peranan pasukan keselamatan
negara.
"Saya juga menyampaikan
taklimat ringkas kepada Tun Musa berkenaan tindakan-tindakan yang diambil untuk
kita memartabatkan ATM ini sebagai satu entiti yang ulung dan dipercayai.
"ATM memfokuskan kepada
keselamatan khusus untuk negeri Sabah kerana kedudukan negeri ini yang unik,
bersempadan dengan beberapa buah negara sama ada secara sempadan darat, laut
mahupun udara.
“Dengan kehadiran ATM di darat,
laut dan udara serta kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Eastern Sabah
Security Command (ESSCOM), kita dapat memastikan keselamatan Sabah terus
terjamin dan aman,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan berkenaan.
Beliau memberi jaminan ATM akan
terus melakukan analisis dan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi
memastikan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Malek dilantik sebagai PAT pada 1
Februari lepas menggantikan Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang bersara wajib pada
27 Disember tahun lepas.
