KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meluahkan kekecewaan selepas mendakwa Kerajaan Persekutuan memfailkan satu Notis Usul bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah berkaitan tuntutan Geran Khas 40 peratus hasil Sabah.
Madius berkata, dokumen berkenaan sampai ke tangannya hari ini dan mendakwa ia menunjukkan usaha kerajaan untuk menggantung pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bertarikh 17 Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS).
Menurutnya, notis usul yang difailkan pada Februari 2026 itu memohon supaya pelaksanaan keputusan mahkamah berhubung tuntutan Geran Khas 40 peratus ditangguhkan sementara proses rayuan berlangsung.
“Satu dokumen yang sangat mengecewakan telah sampai ke tangan saya hari ini.
"Ia melibatkan maruah serta hak perlembagaan seluruh rakyat Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Khamis.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada November tahun lalu dilaporkan menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya merayu terhadap alasan penghakiman mahkamah dan bukannya keputusan mengenai hak 40 peratus itu.
Namun, menurut Madius, tindakan memfailkan notis usul untuk menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah menunjukkan perkara sebaliknya.
“Di depan rakyat mereka berjanji, tetapi di belakang tabir mereka menggunakan ruang teknikal undang-undang untuk menangguhkan hak Sabah daripada dilaksanakan segera,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan mengapa permohonan berkenaan dibuat tanpa sebarang pemakluman terbuka kepada rakyat Sabah.
“Jika benar kerajaan serius mahu memulangkan hak kita, mengapa perlu memohon untuk menggantung perintah mahkamah?” katanya.
Madius turut menyifatkan usaha menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah itu sebagai tindakan yang boleh dilihat sebagai tidak menghormati institusi kehakiman.
Katanya, Mahkamah Tinggi sudah mendengar hujah semua pihak sebelum memutuskan perkara itu, yang menurutnya berkait dengan peruntukan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Ini bukan soal politik, tetapi soal hak yang termaktub dalam Perlembagaan serta dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Sabah menuntut keadilan. Mahkamah sudah mengeluarkan perintah dan kini tinggal kerajaan melaksanakannya, bukan menangguhkannya,” katanya.
