KOTA KINABALU: Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Gudon, Menggatal, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Ronny Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.54 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Lintas bersama bantuan BBP Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.10 petang dan mendapati kebakaran membabitkan tujuh rumah dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 250 x 250 kaki persegi.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 600 kaki dengan tiga pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada jentera serta pili bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ronny berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.58 petang dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Katanya, operasi seterusnya tertumpu kepada kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi sisa bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Menurutnya, maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
