Naik taraf muka sauk Kg Kabang siap Julai ini, bekalan air Papar lebih stabil - Armizan

PAPAR: Projek naik taraf muka sauk di Kampung Kabang yang menjadi antara penyelesaian utama isu gangguan bekalan air di daerah ini dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun ini.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkembangan itu memberi sinar baharu kepada penduduk yang sekian lama berdepan masalah bekalan air tidak stabil.

Menurutnya, projek yang bermula pada Mac 2025 itu kini berjalan mengikut jadual dengan komitmen pihak pelaksana untuk menyiapkannya seperti dirancang.

“Apabila siap kelak, muka sauk di Kg Kabang akan berfungsi sebagai sumber alternatif bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi, terutama ketika muka sauk di Limbahau terjejas.

“Ini penting bagi mengelakkan loji rawatan air dihentikan operasi akibat kandungan klorida yang tinggi, khususnya semasa musim kemarau dan fenomena air pasang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, projek berkenaan melibatkan peningkatan kapasiti daripada 9 juta liter sehari (JLH) kepada 30 JLH bagi menyokong operasi loji rawatan air di kawasan Limbahau.

Katanya, inisiatif itu adalah hasil kelulusan peruntukan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor Noor sebagai langkah jangka panjang menangani krisis air di Papar.

“Dengan adanya sumber alternatif ini, operasi loji rawatan air dapat diteruskan tanpa gangguan walaupun berlaku peningkatan kadar air masin.

“Ini sekali gus dijangka mengurangkan gangguan bekalan air yang sering membebankan penduduk di Papar dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa pemantauan rapi akan terus dilaksanakan bersama agensi terlibat bagi memastikan projek berkenaan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama