Konflik Asia Barat beri tekanan kepada sektor pelancongan Sabah - Jafry

KOTA KINABALU: Konflik di Asia Barat mula memberi kesan kepada industri pelancongan Sabah apabila kos operasi meningkat selain tempahan pelancong dilaporkan terjejas.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kenaikan harga minyak menjadi faktor utama yang menekan sektor berkenaan, khususnya membabitkan kos pengangkutan dan konektiviti ke negeri ini.

Menurutnya, pengusaha pelancongan termasuk operator bot, bas dan perkhidmatan persiaran kini terpaksa menyesuaikan harga bagi menampung peningkatan kos operasi.

“Apabila harga minyak naik, ini memberi kesan kepada keseluruhan rantaian industri termasuk pengangkutan dan perkhidmatan berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Sabah Tahun 2026, di sini, hari ini.

Jaffry berkata, terdapat tanda awal penurunan tempahan termasuk pembatalan daripada pasaran yang terkesan dengan situasi global semasa.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu merupakan cabaran global dan bukan hanya tertumpu kepada Sabah semata-mata.

“Kita berharap keadaan tidak sampai ke tahap seperti pandemik sebelum ini.

"Namun, pengusaha perlu lebih kreatif dan berhemah dalam menawarkan perkhidmatan bagi kekal berdaya saing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan negeri akan meneliti langkah intervensi bersama Kerajaan Persekutuan bagi memastikan sektor pelancongan kekal stabil.

“Kerajaan memberi perhatian penuh kerana sektor ini menyediakan peluang ekonomi yang besar kepada rakyat Sabah. Data dan kajian berkaitan juga sedang disiapkan untuk tindakan lanjut,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama