KINABATANGAN: Seorang lelaki yang dilaporkan dibaham buaya ketika menjala udang di sungai Kampung Segaliud, jalan masuk SK Segaliud Seri Linkas, di sini ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata pasukan bomba bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.22 malam.
Mangsa, Mohd Rayyan Abdullah, 28 tahun, ditemui dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
“Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 9.15 pagi bersama agensi penyelamat lain serta penduduk kampung.
“Mangsa telah ditemui oleh pasukan bomba pada jam 9.55 pagi dalam keadaan terapung kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya,” katanya dalam satu kenyataan bomba hari ini.
Dalam kejadian pada Selasa, mangsa dipercayai diserang buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang di sungai berkenaan.
Komander operasi melaporkan bahawa kejadian itu turut disaksikan oleh ayah mangsa yang berada bersama di lokasi.
“Menurut ayah mangsa yang turut berada bersama di lokasi kejadian, mangsa telah dibaham buaya di hadapan beliau,” jelasnya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi,” ujar beliau.
