Op Selamat dilancar di Kota Kinabalu, fokus keselamatan pengguna jalan raya menjelang Aidilfitri

 

Kassim (tengah) pada sidang media OP Selamat di Petronas Lintas - Kepayan, di sini, hari ini. 

KOTA KINABALU: Polis melancarkan Op Selamat di daerah ini sebagai langkah meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya sempena musim perayaan Aidilfitri nanti. 


Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kassim Muda berkata operasi berkenaan dilaksanakan bermula hari ini dengan tumpuan kepada pemantauan aliran trafik serta pencegahan kemalangan di laluan utama.


Menurut beliau, sebanyak 644 kes kemalangan direkodkan di daerah ini setakat tahun ini dan 15 daripadanya telah melibatkan kematian.


“Kes kemalangan maut ini kebanyakannya berlaku di Jalan Sepanggar dan Jalan Tuaran Bypass, dengan punca utama adalah kelajuan dan sikap pemandu yang kurang berhati-hati,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media bagi OP Selamat yang bertempat di Petronas Jalan Lintas - Kepayan, di sini, hari ini. 


Tambah beliau, antara kesalahan yang sering dikenal pasti termasuk memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta tidak mematuhi peraturan lalu lintas.


“Sebahagian besar yang terlibat adalah penunggang motosikal dan hampir 90 peratus daripada kes maut didapati tidak mempunyai lesen memandu,” jelasnya.


IPD Kota Kinabalu mengambil gambar kenangan bersama pihak Petronas Lintas, di sini.


Dalam pada itu, pihak polis turut menggerakkan seramai lima pegawai dan 43 anggota trafik sepanjang Op Selamat dan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan bagi mencegah jenayah.


“Hanya 10 peratus anggota dibenarkan bercuti sepanjang tempoh operasi bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berada pada tahap sedia. 


Kassim ketika menyerahkan pek makanan berbuka kepada salah sebuah keluarga pada OP Selamat, di sini.


“Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, memastikan diri berada dalam keadaan cergas serta berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan jauh. 


“Keutamaan kita adalah memastikan pengguna jalan raya selamat sampai ke destinasi dan kembali ke kediaman masing-masing dengan selamat,” tambah beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama