‘Tolonglah Zaid, kisah anda Blok Borneo mahu kawal Malaya hanya fiksyen sejarah’ – Anifah

KOTA KINABALU: Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Tan Sri Anifah Aman, menyifatkan kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, bahawa Sabah dan Sarawak mahu 'mengawal' Malaysia menerusi gagasan Blok Borneo sebagai naratif tidak berasas dan bersifat 'fiksyen sejarah'.

Anifah berkata, dakwaan kononnya Sabah dan Sarawak mempunyai agenda tersembunyi untuk mendominasi atau mengawal Semenanjung adalah tafsiran melulu yang tidak berpijak pada fakta sejarah pembentukan Malaysia.

“Tolonglah Zaid, kisah bahawa Blok Borneo mahu kawal Malaya itu hanya fiksyen sejarah. Sabah dan Sarawak tidak pernah berniat untuk menguasai sesiapa.

"Apa yang kami perjuangkan ialah hak yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya dalam kenyataanya, semalam

Menurut beliau, pembentukan Malaysia pada 1963 bukanlah hasil ‘permintaan kepada penjajah’, sebaliknya dimeterai melalui rundingan rasmi yang membawa kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai perjanjian antara rakan setara.

Katanya, pelbagai jaminan dan autonomi yang dipersetujui ketika itu semakin terhakis akibat proses pemusatan kuasa yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

“Apabila Sabah menuntut pelaksanaan 40 peratus hasil bersih seperti diperuntukkan, ia bukan soal meminta-minta atau mahu mengawal. Ia hak yang dijamin. 

"Begitu juga isu berkaitan petroleum dan sempadan perairan, semuanya bersandarkan undang-undang,” katanya.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar menegaskan, gagasan Blok Borneo diwujudkan bagi memperkukuh suara Sabah dan Sarawak dalam memastikan pembangunan lebih adil serta seimbang dalam Persekutuan.

“Blok ini bukan untuk mengancam mana-mana pihak. Ia bertujuan memastikan suara rakyat Sabah dan Sarawak didengar secara kolektif, selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, melabel usaha itu sebagai cubaan ‘mengawal’ hanya mengeruhkan lagi hubungan antara wilayah dan tidak membantu usaha memperkukuh perpaduan nasional.

“Sabah tidak mahu dominasi. Sabah hanya mahu haknya dihormati. Jika hak yang dijanjikan sejak 1963 dilaksanakan sepenuhnya, tidak timbul soal ketegangan seperti yang digambarkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak melihat isu berkenaan secara matang dan berlandaskan fakta sejarah serta peruntukan Perlembagaan, bukannya persepsi politik sempit.

“Tanggungjawab kita ialah memperkukuh Malaysia sebagai Persekutuan yang adil untuk semua, bukan menimbulkan naratif yang mengelirukan rakyat,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama