![]() |
| IHSAN: BBP Sandakan |
SANDAKAN: Tiga buah rumah dan tiga kedai runcit musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Bukit Nenas, Karamunting, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.01 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
Katanya, kebakaran itu turut melibatkan tiga buah rumah serta tiga kedai runcit jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 90x150 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Turut terbakar sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 yang musnah sepenuhnya dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengelakkan api daripada merebak dan menyelamatkan kira-kira 350 rumah kediaman berhampiran daripada turut musnah,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.40 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.31 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi.
