KOTA
KINABALU : Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan terus memperkukuh
kerjasama strategik dengan kerajaan Sabah dalam usaha membangunkan industri
tenaga di negeri ini.
Presiden
dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Seri Tengku Muhammad Taufik
berkata kerjasama itu mampu mendukung aspirasi Sabah dalam memperkasa
pembangunan industri itu.
“Alhamdulillah,
kami berpeluang memberi taklimat berhubung kegiatan paling mutakhir Petronas di
Sabah dan sambutan amat positif supaya kerjasama dipergiatkan.
"Lebih-lebih
lagi dalam usaha membangunkan wilayah timur di Sabah, kami tekankan bahawa
Petronas berniat untuk bekerjasama serta mendukung aspirasi negeri Sabah untuk
membangunkan industri," katanya selepas kunjungan hormat terhadap Yang
di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Selasa.
Menurutnya,
objektif kunjungan adalah memaklumkan perkembangan terkini tentang kegiatan dan
inisiatif bersama kerajaan negeri termasuk usaha sama dengan SMJ Energy Sdn Bhd
(SMJE).
“Selain
itu, kami turut menyentuh mengenai kejayaan dan prestasi usaha sama yang telah
dijalankan bersama kerajaan negeri Sabah," ujarnya.
Beliau juga
memaklumkan beberapa lagi usaha sama baharu telah dikenal pasti dan akan
direalisasikan dalam masa terdekat dengan kerajaan negeri, berteraskan prinsip
menang-menang demi kepentingan bersama.
Hadir sama,
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir (Dr) Bacho Pilong,
Naib Presiden Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan, Ir Norafizal Mat
Saad, Ketua Pembantu Eksekutif bagi Presiden dan CEO Kumpulan, M Johan Ariff M
Supian, Pengurus Besar Pejabat Wilayah Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu
Abdul Wahab.
