KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor telah melantik Tan Sri Andrew Sheng, seorang tokoh perbankan Asia dan pengawal selia kewangan yang dihormati, sebagai Penasihat Khas beliau.
Mengumumkan pelantikan itu, Ketua Menteri berkata pengalaman luas serta kelayakan kukuh Sheng akan menjadi aset kepada Sabah.
“Kami menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” kata Hajiji selepas bertemu Sheng di kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Gaya, hari ini.
Warganegara Malaysia yang dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an, Sheng yang berpangkalan di Hong Kong pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi perbankan dan pelaburan di Asia dan merupakan penceramah ekonomi global yang kerap diundang.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan di Bank Dunia; dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan, Hong Kong.
Pada masa ini beliau adalah Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) dan merupakan ahli majlis penasihat antarabangsa bagi Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC).
Pada April 2013, Majalah TIME menamakan Sheng sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia.
