Tindakan undang-undang antara langkah UMS kekang salah guna nama, logo universiti

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil pendekatan tegas termasuk tindakan undang-undang bagi mengekang penyalahgunaan nama dan logo universiti di platform media sosial.

Naib Canselor UMS, Datuk Dr Kasim Mansur, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada tindakan susulan bersepadu yang dilaksanakan bagi memastikan isu berkenaan ditangani secara segera dan berkesan.

Menurut beliau, pihak universiti telah memperkenalkan beberapa langkah utama termasuk pemantauan berterusan terhadap kandungan serta akaun yang berkaitan dalam mengambil tindakan susulan melalui saluran bersesuaian termasuk dari aspek perundangan.

“UMS juga memperkukuh saluran komunikasi rasmi sebagai rujukan utama bagi memastikan setiap maklumat yang disebarkan adalah tepat dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa identiti universiti merupakan amanah bersama yang perlu dipelihara dengan penuh tanggungjawab oleh seluruh warga kampus.

Sehubungan itu, semua perkara berkaitan hal ehwal pelajar termasuk penyampaian kenyataan yang mewakili universiti kepada masyarakat disarankan disalurkan melalui saluran rasmi dan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

Mengulas lanjut, Kasim menyeru warga UMS agar terus mengamalkan komunikasi berhemah, berfakta serta saling menghormati, selaras dengan nilai universiti sebagai “Brain of Borneo”.

“UMS akan terus komited dalam memelihara kepercayaan masyarakat serta memastikan persekitaran kampus yang inklusif, bertanggungjawab dan berintegriti,” jelasnya. 

Orang ramai turut dinasihatkan agar merujuk kepada saluran rasmi universiti bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama