KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah mengecam keras kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa tuntutan ke atas Sabah dihidupkan semula, sambil mendakwa ia sebagai usaha mengalih perhatian daripada krisis dalaman negara itu.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim, berkata kenyataan berkenaan tidak bertanggungjawab serta bercanggah dengan prinsip kedaulatan dan undang-undang antarabangsa.
Beliau menegaskan Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
“Cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan tuntutan lapuk adalah tidak berasas, selain jelas bertujuan mengalih perhatian daripada krisis dalaman yang berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain dan sebarang percubaan mengaitkan negeri itu dengan kepentingan luar adalah tidak wajar.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Luar membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan berkenaan, selain meminta Kerajaan Persekutuan terus memantau perkembangan isu terbabit bagi memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.
Dalam pada itu, Azrul turut menyeru rakyat Sabah supaya kekal tenang, bersatu dan tidak terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Katanya, Pemuda Gagasan Rakyat akan terus komited mempertahankan kedaulatan negeri ini daripada sebarang tuntutan luar.
