KOTA KINABALU: Tiga tokoh mendahului senarai penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Sabah sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, yang berlangsung esok.
Mendahului senarai ialah tokoh korporat dalam industri minyak dan gas serta teknologi, Datuk Abdul Farish Abd Rashid yang juga Pengarah Urusan FPSO Ventures Sdn Bhd.
Beliau adalah antara tiga individu dianugerahkan darjah kebesaran tertinggi negeri, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Turut menerima darjah sama ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Sementara itu, seramai 79 individu menerima darjah kebesaran kedua tertinggi negeri iaitu Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk.
Antara penerima PGDK termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Awang Juri Awang Tahir; Hakim Mahkamah Tinggi, Maslinda @ Linda Datuk Mohd Ainal serta Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz.
Turut tersenarai ialah Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibrahim; Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Bung Moktar; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr William Gotulis; Ketua Konservator Hutan Sabah, Zulkifli Suara serta Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.
Selain itu, seramai 117 individu menerima Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), diikuti 192 penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 26 penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 249 penerima Bintang Kinabalu (BK), 113 penerima Pingat Perkhidmatan Terpuji serta 13 individu dilantik sebagai Jaksa Pendamai.
Antara penerima Jaksa Pendamai adalah Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Ahemad Sade; Peguam Datuk Ram Singh; dan Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LPD) Sim Fui.
