KOTA KINABALU: Gara-gara berebut pelanggan, sekumpulan pekerja syarikat pelancongan bertindak di luar kawalan hingga mencetuskan pergaduhan di hadapan sebuah kiosk di Jesselton Point, di sini, pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, situasi menjadi kecoh apabila individu terbabit bertindak agresif termasuk membaling kerusi sehingga menyebabkan kerosakan harta benda di lokasi berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang pengusaha kiosk yang terjejas.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pergaduhan dipercayai berpunca daripada perselisihan antara pekerja dua syarikat pelancongan berhubung perebutan pelanggan.
“Setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh individu yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan.
“Bagaimanapun, rakaman video kejadian itu sudah tular di laman sosial Facebook,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.
Katanya, usaha mengesan serta mengenal pasti semua individu yang terbabit sedang giat dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam sebarang perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta sentiasa mematuhi undang-undang,” katanya
