Lima lelaki ditahan ugut, pecahkan kenderaan guru

KOTA KINABALU: Lima lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai mengugut dan memecahkan cermin kenderaan milik seorang guru dalam kejadian di kawasan berhampiran Jesselton Quay, di sini, semalam. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata pihaknya menerima laporan kejadian itu pada jam 2.35 petang daripada mangsa berusia 30 tahun.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1.45 petang hari sama selepas mangsa menghadiri satu majlis di Sabah International Convention Centre (SICC).

“Siasatan awal mendapati mangsa berdepan beberapa individu dipercayai pekerja sebuah premis kurier ketika menuju ke kenderaannya di kawasan parkir berhampiran Pelabuhan Kota Kinabalu.

“Berlaku provokasi lisan sebelum keadaan menjadi tegang, menyebabkan mangsa mengundurkan kenderaan dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, beberapa individu bertindak mengejar kenderaan mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang.

“Mangsa turut mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian berlaku,” katanya.

Syed Lot berkata, bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi segera sebelum berjaya menahan lima lelaki tempatan pada malam sama bagi membantu siasatan.

Katanya, permohonan reman akan dibuat terhadap semua suspek bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

“Polis memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan siasatan dijalankan secara telus serta adil,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama