KOTA KINABALU: Program Cahaya
Ramadan 2026 anjuran Telekom Malaysia (TM) Sabah menjadi wadah bagi menyantuni
golongan asnaf, ibu tunggal, B40 dan warga emas sempena bulan Ramadan.
Ahli Dewan Undangan Negeri
(Dilantik), Datuk Abdul Kassim Razali berkata penganjuran program itu
bertepatan dengan semangat Ramadan yang menggalakkan umat Islam memperbanyakkan
amalan kebajikan termasuk membantu golongan kurang berkemampuan.
"Bersempena bulan Ramadan
yang mulia ini, kita meraikan para asnaf dengan menyampaikan sumbangan kepada
mereka yang memerlukan.
"Ia juga menjadi peluang
untuk kita berinfak dan bersedekah kerana Ramadan merupakan bulan yang penuh
dengan barakah yang perlu kita rebut.
"Apabila kita memberikan
sumbangan, ia menunjukkan keprihatinan terhadap mereka yang memerlukan dan
merupakan satu amalan yang mulia,” katanya ketika menyampaikan ucapan di
Sekolah Rendah Islam Al Hafidz, Tuaran (SRIAHT), pada Sabtu.
Pada program itu, 40 pelajar
asnaf menerima sumbangan zakat manakala 120 bakul makanan diagihkan kepada
golongan asnaf, B40, ibu tunggal serta penduduk setempat.
Beliau turut menyokong inisiatif
TM Sabah itu dan mengalu-alukan cadangan menjadikan Sekolah Rendah Islam
Al-Hafiz Tuaran sebagai sekolah angkat TM di kawasan ini.
Kassim berharap program itu dapat
diteruskan pada masa hadapan dengan kerjasama antara TM, Jabatan Penerangan
Sabah dan agensi lain dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan.
Sementara itu, Pengurus Besar TM
Sabah, Sahrimin Mohd Iman menjelaskan program itu merupakan inisiatif
Tanggungjawab Sosial Korporat Yayasan TM yang dilaksanakan di seluruh negara
bagi membantu golongan yang memerlukan sepanjang bulan Ramadan ini.
"Semoga sumbangan ini
sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima dalam membuat persiapan
menyambut Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba," ujarnya.
Menurutnya, program yang
menyasarkan golongan asnaf, anak-anak yatim, keluarga B40, ibu tunggal dan
warga emas dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,200 keluarga atau sekitar
13,000 penerima di 12 negeri melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM320,000.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi
Lembaga Pemegang Amanah SRIAHT, Roslani Abdullah, Pengarah Penerangan Sabah,
Jainisah Mohd Noor, Timbalan Pengarah JAPEN Sabah, Azman Sipan.
