KOTA KINABALU: Program Kasih
Ramadan anjuran Persatuan Tindakan Wanita Islam Sabah (Pertiwisa) akan
menyantuni 100 ibu tunggal dan asnaf di sekitar ibu negeri.
Pengerusinya, Zaleha Mohd Kassim
berkata program berkenaan melibatkan lima penerima dari setiap kampung iaitu
Kampung Sembulan, Kampung Likas, Kampung Tanjung Aru serta beberapa kampung di
Putatan dan Kinarut.
“Sempena bulan Ramadan, Pertiwisa
turut menyalurkan sumbangan tahunan kepada Sekolah Anak-Anak Yatim Tambunan
serta sekolah anak-anak mualaf di Sekolah Ugama Tambunan,” katanya ketika
ditemui pada Majlis Khatam Al-Quran Perdana PERTIWISA, pada Sabtu.
Majlis tahunan yang dihadiri 200
individu tersebut turut disempurnakan dengan kehadiran isteri kepada Yang
di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin yang juga Penaung Pertiwisa.
Menurut Zaleha, Pertiwisa kini
mempunyai 300 ahli dengan lima cawangan aktif di seluruh Sabah iaitu di
Sandakan, Tawau, Beaufort, Tuaran dan Kota Belud.
"Sepanjang Ramadan ini juga,
setiap cawangan Pertiwisa menganjurkan Program Tadarus Al-Quran yang diadakan
di beberapa lokasi termasuk di Masjid Negeri Sabah dan Wisma Wanita.
“Pertiwisa mengalu-alukan lebih
ramai wanita Islam menyertai persatuan ini bagi menggiatkan lagi aktiviti
keagamaan serta kebajikan dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, PERTIWISA
menerima sumbangan berjumlah RM30,000 daripada Dr Zailan Ahmad dari Singapura
untuk diagihkan kepada lima cawangan Pertiwisa serta sebuah pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) wanita Islam di daerah Kinabatangan.
Selain itu, katanya PERTIWISA
turut menghargai sumbangan daripada Syarikat Ali yang menyalurkan pakej rempah
kari bagi membantu persiapan sambutan Aidilfitri penerima program berkenaan.
"Semua sumbangan berkenaan
akan digunakan bagi menjayakan Program Kasih Ramadan termasuk bantuan kewangan
dan beras kepada penerima," tambahnya.
Turut berlangsung pada majlis itu
ialah ceramah agama bertajuk 'Nuzul Al-Quran Rahmatan Lil Alamin' yang
disampaikan oleh pengasas Zahratul Quran Centre, Normi Mat Yusuf.
Hadir sama, Ibu Konsul Indonesia,
Pris Rahayu Norman dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail.
