KOTA KINABALU : Seramai 30 anak
yatim dan golongan asnaf dari sekitar daerah Putatan menerima sumbangan
daripada Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA)
Cawangan Sabah, pada Sabtu.
Penerima terdiri daripada
penduduk Kampung Seri Pandan, Kampung Ketiau dan Kampung Ulu Putatan diraikan
dalam majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan kebersamaan
sempena bulan Ramadan.
Sumbangan tersebut disampaikan
oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan
Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong bersama Pengerusi PUSPANITA
Cawangan Sabah, Datin Seri Panglima Nuinda Alias.
Pada majlis sama, seramai 30 ahli
PUSPANITA Cawangan Sabah turut menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran yang
dipimpin oleh Pengerusi Biro Agama PUSPANITA Sabah, Aishah Gani.
Program berkenaan turut diisi
dengan tazkirah Ramadan sebelum para tetamu menunaikan solat fardhu Maghrib,
Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah yang dipimpin oleh Imam Masjid
Sri Pandan Putatan, Awaluddin Nasution.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha
Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ahemad Sade; Setiausaha Tetap Kementerian
Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Mansur Asun;
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Sabin Samitah bersama isteri, Datin
Seri Adreen Aderizza Mohamad Soffi serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita
Sabah (JHEWA), Haslina Ismail.
