Itu reaksi tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud susulan kenyataan kontroversi seorang senator Filipina yang mencadangkan agar tuntutan ke atas Sabah dihidupkan semula.
Menerusi ciapan ringkas di Facebook, Mustapha dilihat merujuk kenyataan Robin Padilla dengan nada keras, menegaskan rakyat Sabah sendiri tidak pernah mengalu-alukan sebarang tuntutan luar ke atas negeri itu.
“Kepada senator Filipina… Sabah adalah hak milik Sabahan, bukan Filipina!! No one will touch Sabah!!” katanya.
Kenyataan itu dipercayai sebagai respons langsung kepada cadangan Padilla yang menggesa kerajaan Filipina menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah, kononnya bagi menangani krisis tenaga yang dihadapi negara berkenaan.
Padilla sebelum ini dilaporkan merayu kepada Presiden Ferdinand Marcos Jr. supaya mengambil langkah tegas termasuk menghantar wakil rasmi bagi memperkukuh tuntutan terhadap wilayah berkenaan.
Mengulas lanjut, Mustapha secara sinis menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak berpijak di bumi nyata, malah menegaskan Sabah kekal sebagai sebahagian sah Malaysia sejak pembentukan persekutuan pada 1963.
Terdahulu, tuntutan Filipina ke atas Sabah pernah difailkan pada 1962, namun sehingga kini tidak pernah diiktiraf dan terus menjadi isu sensitif antara kedua-dua negara.
