MACP perkenal garis panduan AI, hanya karya ciptaan manusia layak loyalti

IHSAN: Foto Google

KUALA LUMPUR: Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) secara rasmi memperkenalkan garis panduan mengenai Kecerdasan Buatan (AI) bagi melindungi hak pencipta muzik tempatan dalam landskap teknologi yang semakin berkembang.

MACP dalam satu kenyataan menegaskan hanya karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh manusia layak didaftarkan dan menerima pembayaran royalti.

“Karya yang dijana oleh AI tidak layak memperolehi perlindungan hak cipta mengikut undang-undang sedia ada di Malaysia.

“Hak cipta adalah hak eksklusif yang terhasil daripada daya kreatif dan sentuhan manusia,” katanya.

Menurutnya, langkah itu selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Rang Undang-Undang Tadbir Urus AI sedang digubal bagi mewujudkan akauntabiliti dan etika dalam penggunaan teknologi berkenaan.

MACP menyatakan komitmen untuk menyertai sesi libat urus serta memberikan input khususnya berkaitan perlindungan hak cipta karya muzik dalam proses penggubalan undang-undang tersebut.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali turut menjelaskan bahawa di bawah Akta Hak Cipta 1987, perlindungan hanya diberikan kepada karya yang dihasilkan melalui usaha mencukupi oleh manusia.

Dalam pelaksanaan garis panduan baharu itu, MACP memperkenalkan mekanisme pengesahan mandatori menerusi portal ahli ‘myKarya’, yang mewajibkan ahli mengesahkan karya didaftarkan adalah asli dan bukan dihasilkan melalui AI.

“Sebarang deklarasi palsu boleh membawa kepada tindakan tegas termasuk pembatalan pendaftaran karya serta penahanan bayaran royalti.

“Mana-mana pihak termasuk syarikat AI yang ingin menggunakan repertoir ahlinya bagi tujuan latihan atau penjanaan kandungan mesti mendapatkan persetujuan bertulis dan memeterai perjanjian lesen terlebih dahulu.

“Penggunaan tanpa kebenaran akan dianggap sebagai pencerobohan hak cipta dan tertakluk kepada tindakan undang-undang,” jelasnya.

Sebagai badan pengurusan kolektif, MACP menegaskan pendirian ini bukan menolak kemajuan teknologi, sebaliknya memastikan hak asasi pencipta muzik terus terpelihara dalam era AI.

MACP juga merupakan ahli kepada International Confederation of Societies of Authors and Composers (CISAC), rangkaian antarabangsa yang mewakili lebih lima juta pencipta di seluruh dunia dalam memastikan undang-undang tempatan sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama