Tiga pusat tahfiz perintis model Tahfiz Pertanian Sabah, lahir generasi mahir agama dan pertanian – Ruslan

Ruslan ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pelancaran Model Tahfiz Pertanian di Raia Hotel, di sini, pada Sabtu malam. 

KOTA KINABALU: Tiga pusat tahfiz di Sabah dipilih sebagai projek perintis bagi pelaksanaan Model Tahfiz Pertanian yang diperkenalkan untuk melahirkan generasi muda mahir dalam ilmu agama dan kemahiran pertanian.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Ruslan Muharam berkata, inisiatif itu selaras dengan aspirasi pembangunan negeri di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya yang memberi penekanan kepada pemerkasaan sektor pertanian.

Menurutnya, model berkenaan membolehkan pelajar tahfiz bukan sahaja mendalami pengajian al-Quran, malah mempelajari kemahiran praktikal dalam bidang pertanian.

“Kita dapat melaksanakan model Tahfiz Pertanian ini dengan melihat pusat tahfiz yang mempunyai kawasan tanah walaupun tidak begitu besar dan masih boleh diusahakan dengan adanya pelajar yang ramai.

“Pelajar ini bukan sahaja mempelajari al-Quran, tetapi pada masa sama mereka juga akan memperoleh ilmu berkenaan pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Modul Tahfiz Pertanian sempena Majlis Berbuka Puasa, Diskusi Kitab dan Tahlil Perdana di Raia Hotel Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Ruslan (kanan) ketika pelajar-pelajar tahfiz membawa hasil tanaman sebagai gimik perasmian majlis.

Ruslan berkata aktiviti pertanian itu juga boleh dijadikan riadah kepada pelajar selain membantu menjana pendapatan bagi institusi tahfiz melalui hasil tanaman yang diusahakan.

Sebagai permulaan, projek perintis tersebut melibatkan tiga institusi tahfiz di bahagian pantai barat Sabah, iaitu Maahad Tahfiz Datuk Haji Mansoor Sani di Kota Belud, Pondok Darul Iman Binsulok di Membakut dan Maahad Tahfiz Redhill Ranau.

“Secara keseluruhannya ada 14 ekar untuk ketiga-tiga pusat tahfiz ini,”jelasnya.

Menurut beliau, antara tanaman yang berpotensi diusahakan termasuk kelapa pandan, mangga susu, rambutan serta durian bergantung kepada kesesuaian kawasan.

Dalam pada itu, Ruslan berkata penggunaan teknologi moden turut diperkenalkan dalam projek tersebut termasuk sistem hidroponik dan teknologi pintar bagi memudahkan pengurusan tanaman.

Katanya, teknologi itu membolehkan proses penyiraman dan pemantauan tanaman dilakukan secara automatik melalui peranti pintar.

“Sekarang pertanian juga menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di mana kita tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai kerana sistem boleh dikawal menggunakan telefon.

“Melalui teknologi ini, sistem penyiraman dan pemantauan tanaman boleh dilakukan secara automatik,” tambahnya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama