Langkah Zahid buka pintu bekas ahli kembali bukti kematangan politik, kata UMNO Sabah

Jafry Arifin.


KOTA KINABALU: Langkah Presiden Ahmad Zahid Hamidi membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali menyertai parti dilihat sebagai bukti kematangan politik UMNO, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Jafry Ariffin.

Menurutnya, pendekatan terbuka itu bukan sahaja mencerminkan sikap inklusif kepimpinan parti, malah menunjukkan usaha menyatukan semula kekuatan politik UMNO demi masa depan negara.

“Dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar, usaha penyatuan ini merupakan langkah penting untuk mengukuhkan organisasi serta menghimpunkan semula pengalaman dan kekuatan politik dalam UMNO.

“Pendekatan terbuka ini juga mencerminkan kematangan UMNO sebagai sebuah institusi politik yang sentiasa bersedia memperkukuh semula saf perjuangan secara matang, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Jafry berkata kestabilan politik di Sabah serta hubungan dengan parti nasional yang mempunyai pengalaman pentadbiran amat penting bagi memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan dalam kerangka Persekutuan.

“Saya berharap pendekatan ini dapat memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli parti selain memperluas peranan UMNO dalam agenda pembangunan negara,” jelasnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama