Tiga lelaki positif dadah dicekup kes curi kabel

IHSAN: PDRM Kota Marudu.

KOTA MARUDU: Tiga lelaki warga tempatan diberkas polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di Kampung Tagas, di sini, pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 21 hingga 25 tahun ditahan sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, tangkapan dilakukan susulan maklumat orang awam yang melihat suspek sedang membakar kabel di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menemui longgokan kabel yang sudah dibakar selain sebuah kereta Proton Iswara yang dipercayai digunakan suspek. 

“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek berasal dari Kampung Bengkongan dan Kampung Ranau, di daerah ini serta mempunyai rekod kesalahan lampau.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan untuk proses reman bagi membantu siasatan lanjut.

Simiun turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada tangkapan terbabit.

“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan jenayah di daerah ini,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama