Motosikal baharu sumbangan Ketua Menteri diserah kepada enam ‘hero’ Pangi



TENOM: Enam anak muda yang terlibat dalam insiden kereta api antara Tenom dan Pangi baru-baru ini menerima sumbangan motosikal baharu bagi menggantikan kenderaan mereka yang rosak dalam kejadian itu.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sumbangan enam motosikal itu disampaikan bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat luar bandar.


Menurutnya, bantuan tersebut diharap dapat membantu golongan belia terbabit meneruskan kehidupan harian serta mencari rezeki walaupun tinggal di kawasan pedalaman yang sukar diakses.


“Hari ini kita menyampaikan enam motosikal kepada enam anak muda yang terlibat dalam insiden kereta api antara Tenom dan Pangi empat hari lalu.


“Sumbangan ini disampaikan melalui saya oleh Ketua Menteri sebagai bukti keprihatinan beliau terhadap nasib masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan motosikal itu di sini hari ini. 


Beliau berkata, laluan antara Kampung Pangi dan Pekan Tenom sering terjejas terutama ketika musim hujan atau tengkujuh sehingga menyukarkan pergerakan penduduk.


Katanya, dalam keadaan tertentu penduduk terpaksa berjalan kaki sehingga enam jam untuk sampai ke Pekan Tenom sekiranya laluan tidak dapat digunakan.


“Setiap kali musim hujan atau tengkujuh, laluan ini memang terjejas. Dalam tempoh tiga hingga empat bulan tanpa laluan yang baik, penduduk terpaksa berjalan kaki dari Kampung Pangi ke Pekan Tenom sehingga enam jam,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya Sabah mempercepatkan proses pembinaan jalan yang menghubungkan Tenom dengan Kampung Pangi.


Menurutnya, cadangan pembinaan jalan sepanjang kira-kira 9.2 kilometer itu dijangka memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk pedalaman.


Katanya, juruperunding yang dilantik dijangka menyiapkan kerja berkaitan projek berkenaan menjelang Mei tahun ini sebelum pelaksanaannya dimulakan.


“Projek ini dijangka mengambil masa antara tiga hingga empat tahun untuk disiapkan selepas pelaksanaannya bermula,” katanya.


Enam penerima motosikal itu ialah Sarudi Siden, Julintoh Landan, Lewi Rani, Mike Yulon, Leinto Landan dan Tunih Rani.


Dalam perkembangan lain, Jamawi turut menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Al-Rahman Tenom selain merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Chung Hwa bersama ahli Lembaga Pengelola Sekolah, warga pendidik serta pelajar sekolah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama