KOTA KINABALU : THP Sabaco Sdn
Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,023,836 bagi tahun kewangan 2024
kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Majlis penyerahan zakat tersebut
diserahkan oleh Ahli Lembaga Pengarah THP Sabaco Sdn Bhd, Kasmuri Sukardi yang
mewakili anak syarikat TH Plantations Sdn Bhd kepada Mufti Kerajaan Negeri
Sabah, Datuk Bongsu Aziz Jaafar bagi pihak MUIS yang disaksikan oleh Yang
di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Pada majlis sama, MUIS turut
menyerahkan wakalah zakat perniagaan berjumlah RM127,980 kepada THP Sabaco Sdn
Bhd untuk diagihkan kepada asnaf dalam kalangan 1,075 kakitangan syarikat
berkenaan.
Sementara itu, Kasmuri
memaklumkan THP Sabaco Sdn Bhd kini giat melaksanakan pendidikan kemasyarakatan
menerusi Program Celik Al-Quran dalam kalangan pekerja ladang milik syarikat
itu di seluruh Sabah sebagai sebahagian daripada komitmen pembangunan insan.
Kasmuri berkata, menerusi program
selama 30 jam itu peserta diyakini mampu menguasai asas bacaan dan penulisan
Al-Quran selepas tamat latihan.
"Kami melaksanakan program
ini bermula di Lahad Datu dan kini melibatkan semua ladang THP Sabaco Sdn Bhd.
Insya-Allah selepas menyertai program 30 jam ini mereka boleh menulis dan
membaca Al-Quran.
"Bagi menjayakan program
tersebut, kami mendapat sokongan daripada Yayasan Institut Pengajian Al-Quran
(Y-IPaQ), Pejabat Mufti Negeri Sabah dan MUIS," katanya selepas kunjungan
hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri
Kinabalu, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai
Eksekutif TH Plantations Sdn Bhd, Datuk Ts. Borhan Bachi, Setiausaha MUIS,
Datuk Ramlan Awang Ali dan Ahli Lembaga Pengarah THP Sabaco Sdn Bhd, Irwan
Ayub.
