Blok Borneo bukan untuk ‘kawal’ sesiapa, tetapi kesatuan suara Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Blok Borneo bukan bertujuan ‘mengawal’ mana-mana pihak sebaliknya memperjuangkan kesatuan suara rakyat Sabah dan Sarawak demi pembangunan lebih adil dalam Persekutuan Malaysia.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Sabah merangkap Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim berkata, tanggapan kononnya Sabah dan Sarawak mahu ‘mengawal’ Malaya adalah tidak tepat dan tersasar daripada semangat sebenar penubuhan Blok Borneo.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang mendakwa Sabah dan Sarawak berada dalam kedudukan strategik untuk ‘mengawal’ Malaya melalui perancangan politik dikenali sebagai Blok Borneo.

Menurut Azrul, sentimen memperkukuh kerjasama politik antara negeri di Borneo wujud bukan atas dasar emosi atau ekstremisme, tetapi berasaskan realiti jurang pembangunan yang masih ketara antara Malaysia Timur dan Barat.

“Di banyak kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, isu asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik serta peluang ekonomi masih menjadi keutamaan rakyat.

“Blok Borneo adalah usaha menyatukan suara supaya agenda pembangunan dapat diperjuangkan secara lebih tersusun dan signifikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azrul berkata, semangat yang dibawa menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah berkaitan hak dan tanggungjawab dalam kerangka Persekutuan, bukannya usaha memecah-belahkan negara.

Katanya, memperkukuh kedudukan Sabah dan Sarawak dalam rundingan Persekutuan akan memberi manfaat kepada keseluruhan Malaysia.

“Apabila hak Sabah dan Sarawak dipenuhi secara adil, Persekutuan Malaysia akan menjadi lebih kuat dan stabil.

“Ini bukan soal siapa mengawal siapa, tetapi soal keseimbangan, keadilan pembangunan dan semangat kebersamaan dalam Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan Persekutuan wajar melihat keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak berkaitan MA63 secara tuntas dan berani.

Menurutnya, pendekatan inklusif serta hormat terhadap hak yang termaktub akan memastikan Malaysia terus makmur dan bersatu, selaras dengan semangat pembentukan negara sejak 1963.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama