Tergamak rogol kanak-kanak OKU, PATI dipenjara 20 tahun, 10 sebatan

LAHAD DATU : Usia sudah menjangkau status warga emas namun tergamak melakukan perbuatan keji merogol kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU).

Bagaimanapun, perbuatannya itu mendapat balasan setimpal apabila Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 10 kali sebatan selepas didapati bersalah atas kesalahan yang dilakukan ha dua tahun lalu itu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Suhailla Selag terhadap tertuduh berumur 79 tahun itu, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes mereka, pada prosiding di akhir kes pembelaan pada Isnin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia itu didakwa merogol mangsa yang juga kanak-kanak perempuan (OKU) lembam berusia 10 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah tidak bernombor dekat Tunku, Lahad Datu, pada 2024.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(2) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 9 Februari lalu, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao mengemukakan lapan saksi untuk memberi keterangan, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri.

Berikutan keputusan itu, Mahkamah memerintahkan hukuman berkuat kuasa mulai tarikh sabitan hari ini, selain mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya mengikut Seksyen 26 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama