MUIS Agih RM170 Juta Zakat Kepada Asnaf Sepanjang 2025

 

KOTA KINABALU: Sebanyak RM170 juta zakat diagihkan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi membantu golongan asnaf di seluruh negeri sepanjang tahun lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, agihan itu merangkumi bantuan kewangan, kebajikan serta program pembangunan yang bertujuan meringankan beban selain memastikan kebajikan golongan asnaf terus terpelihara.

“Sumbangan zakat daripada sektor korporat amat penting bagi memperkukuhkan dana zakat yang akan diagihkan kepada golongan asnaf yang layak di seluruh negeri.

“Sehubungan itu, saya menggalakkan lebih banyak syarikat termasuk Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta syarikat perniagaan untuk tampil menunaikan tanggungjawab dengan menyalurkan zakat perniagaan melalui MUIS,” katanya selepas menghadiri Majlis Iftar MUIS disini, pada Jumaat.

Pada majlis itu, MUIS menerima pembayaran zakat melebihi RM1.3 juta daripada sepuluh pembayar zakat korporat antaranya Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), TM Technology Services Sdn Bhd, Bank Simpanan Nasional, Bank Pertanian Malaysia Berhad dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Di samping itu, Arifin memaklumkan MUIS akan mempergiat usaha pembinaan rumah untuk golongan asnaf sebagai langkah memperkukuh kebajikan masyarakat Islam yang memerlukan di Sabah.

“Bagaimanapun, setiap penerima bantuan akan melalui proses penilaian dan pemeriksaan oleh pihak MUIS bagi memastikan bantuan disalurkan kepada individu atau keluarga yang benar-benar layak serta memerlukan.

“Rumah yang dibina menerusi program ini akan dikenali sebagai Baitul Asnaf, iaitu kediaman khas yang disediakan kepada golongan asnaf yang layak.

“Inisiatif pembinaan Baitul Asnaf telah dilaksanakan sebelum ini dan beberapa buah rumah berjaya disiapkan bagi membantu keluarga kurang berkemampuan memiliki kediaman yang lebih selesa,” ujarnya.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Yahya Hussin serta Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama