SE Sumbang RM1.1 Juta Wakalah Zakat Asnaf

 

TUARAN : Sabah Electricity (SE) menyumbang RM1.1 juta dalam program wakalah zakat. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM671 ribu ada sumbangan bagi tahun 2025 manakala RM481 ribu pada 2026 kepada asnaf seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusinya, Saadiah Aziz berkata, usaha tersebut merupakan inisiatif penting syarikat dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat.

"SE percaya, zakat bukan sekadar satu kewajipan, tetapi juga satu amanah yang perlu disalurkan dengan penuh tanggungjawab agar manfaatnya dapat dirasai oleh golongan yang benar-benar memerlukan

"Pemberian sumbangan wakalah zakat SE dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), merupakan program tahunan yang dilaksanakan sempena bulan Ramadan dengan niat memahami kesulitan masyarakat dalam mendepani cabaran hidup pada masa kini.

"Usaha SE memberi semula kepada masyarakat seiring dengan usaha kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Seikhlas Budi, Sesuci Ramadan di Masjid At-Taqwa, Perumahan Laya-laya pada Sabtu.

Tambahnya, inisiatif tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan penerima, malah turut memberi dorongan dan harapan kepada masyarakat untuk terus berusaha meningkatkan taraf kehidupan.

"Melalui agihan wakalah zakat ini, syarikat berusaha memastikan bantuan yang diberikan dapat memberi impak yang bermakna kepada penerima," ujarnya.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor; Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, Chief Executive Officer SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yakoob Jaafar dan Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama