PENAMPANG: Penganjuran Program
TeaTalk edisi Ramadan anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Sabah menjadi
antara platform meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat tentang nilai
rohani bulan Ramadan.
Pengarah JAPEN Sabah Jainisah
Mohd Noor berkata, program itu juga disiarkan secara langsung menerusi aplikasi
Facebook dan TikTok rasmi Japen Sabah yang membolehkan masyarakat umum
mengikuti majlis ilmu tersebut.
"Inisiatif ini amat
bertepatan dan selari dengan peranan teras Japen Sabah dalam menyalurkan
informasi yang bermanfaat kepada khalayak melalui pelbagai medium.
"Pendekatan digital ini
merupakan kaedah komprehensif untuk menarik minat kumpulan sasar yang dapat
dilaksanakan dengan lebih meluas, pantas dan mudah diakses oleh semua lapisan
masyarakat," katanya ketika ditemui selepas Program TeaTalk Japen Sabah
Edisi Khas Ramadan, pada khamis.
Program bual bicara itu
menampilkan Timbalan Dekan Akademik Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia
Sabah (UMS) Dr. Issraq Ramli sebagai panel jemputan yang membincangkan tajuk
'Ramadan Bukan Sekadar Berpuasa'.
Sementara itu, Issraq berkata
program seumpama perlu diadakan setiap tahun termasuk pada hari-hari kebesaran
Islam kerana dapat membantu masyarakat meningkatkan ilmu pengetahuan
kerohanian.
"Tahniah atas penganjuran
program yang membawa banyak manfaat kepada umat Islam, kita dapat meningkatkan
lagi ilmu pengetahuan dan pahala dalam bulan Ramadan.
"Kita mengharapkan program
ini diperkasakan lagi dengan menjemput dan menarik lebih ramai penonton secara
bersemuka selain menggunakan semua platform media sosial,'' ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah
Penerangan, Azman Sipan; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan
Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat, Peter Tong Ah Pin; Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Norehan Kipli dan Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu, Sulia Banying Gihang.
