TAWAU: Kawasan Apas Balung yang pesat membangun memerlukan balai bomba dan penyelamat sendiri bagi memastikan aspek keselamatan penduduk terus terjamin.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keperluan itu bukan lagi cadangan, sebaliknya sudah menjadi tuntutan susulan pertambahan penduduk dan pembangunan yang semakin rancak di kawasan berkenaan.
Menurutnya, jarak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau yang terletak di pusat bandar menyukarkan respons pantas sekiranya berlaku kecemasan di Apas dan Balung.
“Dengan pertambahan taman perumahan, premis perniagaan, bangunan kerajaan serta aktiviti ekonomi yang semakin aktif, kewujudan balai bomba di kawasan ini amat diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak kebakaran di Simpang Batu 15, Jalan Apas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, 18 gerai dilaporkan musnah dalam kebakaran baru-baru ini.
Nizam berkata, ketika insiden berlaku beliau sedang menunaikan ibadah umrah dan sebaik dimaklumkan, beliau mengarahkan pegawainya termasuk Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas turun padang membantu mangsa.
Katanya, bantuan disalurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang diketuai Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta JBPM.
“Hari ini saya menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai dan kurma sempena Ramadan bagi meringankan beban peniaga yang terjejas. Kita akan terus menilai bentuk bantuan susulan yang diperlukan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan penduduk, khususnya di kawasan berisiko tinggi supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan termasuk penyambungan elektrik, penggunaan dapur gas serta struktur pembinaan kediaman dan premis perniagaan.
Menurutnya, setiap pembinaan perlu mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya sudah meminta MPT mengadakan perbincangan bersama Jabatan Tanah dan Ukur serta Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung status tapak kebakaran yang terletak di kawasan rizab jalan.
Katanya, perbincangan itu penting bagi menentukan tindakan terbaik supaya kawasan berkenaan dapat diurus dengan lebih teratur dan selamat pada masa depan.
Beliau berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi perhatian serius terhadap cadangan pembinaan balai bomba Apas Balung bagi memastikan respons kecemasan lebih pantas pada masa hadapan.

