LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, sebelum itu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai nahas berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan kenderaan jenis Nissan Navara dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang wanita berusia 42, 56 dan 11 tahun.
Menurutnya, kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu sebelum kejadian berlaku.
“Apabila tiba di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan melanggar motosikal yang berada di bahu jalan sebelah kiri.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang berhenti dan berehat di atas motosikalnya di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu serta tiga penumpang kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi menyalurkan maklumat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
