Tapak pelupusan sampah Kayu Madang terbakar lagi

KOTA KINABALU: Satu kebakaran besar melibatkan kawasan longgokan tayar dengan keluasan sekitar tiga ekar di Pusat Pelupusan Sampah Kayu Madang, Telipok, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong AK Beki memaklumkan panggilan kecemasan diterima pada jam 12.15 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi  kira-kira 19 kilometer dari balai. 

Menurutnya, kebakaran melibatkan longgokan tayar itu turut meningkatkan cabaran pemadaman berikutan sifat bahan mudah terbakar tersebut.

“Pasukan bomba bertindak menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan empat pancutan air, dengan sumber air diperoleh daripada jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Water Tanker,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini. 

Beliau berkata, selain pemadaman, anggota turut melaksanakan teknik ‘fire break’ di sekeliling kawasan kebakaran dengan bantuan dua jentera berat jenis excavator bagi mengawal api daripada terus merebak.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Kebakaran besar pernah berlaku di tapak pelupusan berkenaan pada Mac 2024 yang mengambil masa beberapa hari untuk dipadamkan sepenuhnya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama