Sabah sasar 40 emas SUKMA tahun ini

Nizam (tengah) ketika ditemui pemberita, hari ini.



KOTA KINABALU: Sabah meletakkan sasaran tinggi untuk meraih 40 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung Ogos ini bagi melepasi pencapaian terbaik sebelum ini iaitu 33 emas.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, persiapan kontinjen negeri telah dimulakan lebih awal sejak awal tahun bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan berprestij itu.

Menurutnya, sasaran 40 emas bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya telah ditetapkan sejak beberapa tahun lalu, namun belum berjaya dicapai sepenuhnya.

“Justeru, kita kini mempergiatkan usaha dan memperkukuh komitmen bersama Majlis Sukan Negeri Sabah serta semua atlet bagi memastikan sasaran ini dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Regas Premium, di sini, hari ini.

Katanya, aspek kecergasan fizikal dan mental perlu diberi perhatian serius bagi memastikan setiap atlet mampu beraksi pada prestasi optimum sepanjang temasya berlangsung.

Dalam pada itu, beliau optimis peningkatan sasaran sebanyak tujuh pingat emas berbanding pencapaian lalu mampu dicapai sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan penuh dedikasi.

“Saya percaya dengan kesungguhan, disiplin dan komitmen tinggi atlet serta sokongan padu semua pihak, Sabah berpotensi mencipta pencapaian lebih cemerlang pada SUKMA kali ini,” ujar beliau. ‎

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama